Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, penambahbaikan tersebut melibatkan aspek teknikal termasuk peralatan.

“Setakat ini SOP yang dilakukan khususnya dalam kes kehilangan seorang petugas di Hutan Taman Negara baru-baru ini adalah baik tetapi kita akan menambah baik lagi,” katanya dalam pelancaran program Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Raub di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Bandar dan Orang Asli negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram.

Pada 11 Ogos lalu, seorang kakitangan Perhilitan, Tarmizi Ahmad Japli hilang selepas memasuki Hutan Taman Negara bersama tujuh rakannya bagi melakukan kerja pemasangan kamera program ‘1st National Tiger Survey’.

Semasa dalam perjalanan pulang ke kem utama, mangsa yang berpecah dan berjalan bersama seorang rakannya melalui jalan sungai sambil memasang kamera telah hilang.

Mangsa ditemukan dalam keadaab lemah Sabtu lalu berhampiran anak sungai kira-kira lima kilometer dari kem utama.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri Shah berkata, pada masa ini Tarmizi yang masih menjalani rawatan di Hospital Lipis berada dalam keadaan sihat.

Ujarnya, Tarmizi yang tidak mengalami sebarang kecederaan dijangka keluar Rabu ini dan dibenarkan bercuti. - UTUSAN ONLINE