“Tidak pernah berlaku sebarang campur tangan. Kami sendiri yang membuat keputusan bagi kes kami kendalikan berkaitan kerajaan,” kata Arifin dalam wawancara di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, mah­ka­mah pernah membuat keputusan yang tidak menyebelahi kerajaan Persekutuan dan negeri, dan ‘mereka terpaksa menerimanya’.

Kata beliau, mereka yang terlibat dengan sesuatu kes dan tidak gembira dengan keputusannya, boleh me­ra­yu kepada mahkamah lebih tinggi.

“Itulah prosesnya. Bagi setiap keputusan, kami (hakim) perlu memberi sebab kenapa kami menolak atau membenarkan sesuatu kes itu”.

Arifin, yang akan bersara wajib akhir bulan ini, berkata, kadang-kadang beliau agak sedih kerana orang sudah mengkritik sesuatu keputusan, sedangkan penghakiman bertulis mengenainya belum dikeluarkan lagi.

Arifin, yang akan berusia 67 tahun Oktober ini, disambung tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara enam bulan lagi tahun lepas. Usia persaraan bagi hakim ialah 66 tahun.

Menurut beli­au­, orang ramai se­kurang-kurangnya perlu membaca terlebih dahulu sesuatu penghakiman sebelum membuat ulasan.

“Kami permudah­kan keputusan penghakiman kami. Kami sediakan ringkasan tentang sesuatu penghakiman bagi memudahkan orang ramai memahaminya supaya mereka tahu sebab-sebab mahkamah membuat keputusan itu.

“Saya berharap orang ramai akan membaca penghakiman kami. Setelah membacanya, anda boleh­lah mengkritiknya,“ kata beliau.

Mengenai reaksi terhadap kritikan yang ditujukan kepada hakim, beliau berkata adalah salah dari segi etika sekiranya para hakim memberi respons secara terbuka terhadap komen orang ramai.

“Hakim mempunyai kedudukan yang aneh. Mereka tidak boleh mempertahankan diri melalui akhbar. Mereka hanya boleh melakukannya melalui penghakiman semata-mata. Apabila kami membuat sesuatu keputusan, kami akan beri alasannya. Anda boleh mengkritik, te­tapi kami tidak akan memberi respons terhadap kritikan itu,” kata beliau.

Menurut Arifin, badan kehakiman akan menyerahkan ke­pada pihak lain seper­ti Peguam Negara, Majlis Peguam atau ahli akademik untuk membuat ulasan kerana mereka boleh menulis apa sahaja tentang sesuatu keputusan hakim, sama ada mempertahankan atau sebaliknya.

Katanya, keputusan mahkamah adalah telus kerana hakim dikehendaki memberi alasan tentang penghakiman yang dibuat dan orang ramai boleh membacanya untuk menilai sama ada ia adil atau sebaliknya.

“Saya sentiasa mengalu-alukan kritikan yang dibuat secara adil dan wajar tentang keputusan yang kami buat supaya kami boleh majukan lagi bidang perundangan kita,“ katanya. – BERNAMA

Arifin menganggap integriti adalah kriteria paling penting bagi seseorang hakim dan tiada sebarang tolak ansur bagi hakim yang tidak memiliki sifat itu. – BERNAMA