Timbalan Menterinya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, ini kerana kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa berusaha memastikan sistem pendidikan negara yang membabitkan infrastruktur sekolah terus ditambah baik demi keselesaan rakyat.

“Walaupun kedudukan kewangan negara tidak memberangsangkan, kerajaan PH akan berusaha memastikan sistem pendidikan negara terus dinaik taraf.

“Justeru, kerajaan menyambut baik dan menggalakkan syarikat kontraktor yang terlibat dengan projek naik taraf sekolah daif menggunakan kaedah IBS yang lebih menjimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek naik taraf sekolah daif menggunakan kaedah IBS di Semenanjung Malaysia peringkat Fasa 1 negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Roslan Md. Taha dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Zulkifly A. Ghani.

Menurut Mohd. Anuar, kerajaan amat mengambil berat bagi memastikan projek infrastruktur terutamanya yang melibatkan ‘people centric’ dilaksanakan dengan berjaya.

Projek naik taraf sekolah daif di Melaka menggunakan IBS amat berkesan apabila empat buah sekolah diserahkan oleh JKR negeri tahun lalu dengan hasil berkualiti tanpa sebarang masalah.

Projek bagi tahun ini pula dibahagikan kepada dua fasa melibatkan 10 buah sekolah iaitu pembinaan 109 kelas menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Kos pembinaan bagi projek fasa pertama berjumlah RM12.8 juta melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Paya Dalam, SK Merlimau dan SMK Pernu.

Pembinaan projek fasa kedua pula melibatkan kos berjumlah RM11.7 juta iaitu SK Paya Rumput, SK Durian Tunggal, SMK Paya Rumput, SMK Bukit Rambai dan SMK Tun Haji Abdul Malek. - UTUSAN ONLINE