Malah Presiden Gerakan Setia Johor (GSJ), Mohamad Salleheen Muhammad berkata, suara dan kenyataan yang dibawa oleh golongan tersebut hakikatnya adalah demi mempertahankan kesejahteraan, keamanan, dan keselamatan rakyat negara ini termasuk rakyat di negeri Johor.

Selain itu katanya, kerajaan PH digesa merangka formula khas demi kebajikan rakyat termasuk menyalurkan segera peruntukan bagi melaksanakan pembangunan kepada negeri Johor.

“ Majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PH ekoran kegagalan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak fokus menjaga kebajikan rakyat dan kurang sensitif terhadap hak istimewa orang Melayu mengancam kedaulatan raja raja.

“Kami bangsa Johor juga akan bangkit mempertahankan sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan raja -raja Melayu lain dihina dan dicemuh demi cita-cita politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Sallehen berkata,kerajaan PH juga dilihat seolah-olah menutup segala kelemahan pentadbiran dan pengurusan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu serta mengutamakan usaha Meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN ONLINE