Datuk Ir Hasni Mohammad
Datuk Ir Hasni Mohammad

Ini kerana, kata Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad, kerajaan negeri hari ini mewarisi sebuah negeri yang berada dalam kedudukan yang sangat baik, sihat, makmur ekonominya dan kedudukan kewangan kukuh.

Malah, katanya, kerajaan negeri sebelum ini juga telah pun mengenal pasti perkara kritikal yang mesti diberikan perhatian dalam usaha membangunkan Johor seperti beralih menjadi kerajaan digital, membangunkan ekonomi kreatif dan Pelan Pembangunan Strategik Johor (PPSJ) secara berfokus.

“Justeru, jika sekadar mewarisi negeri yang baik tetapi tidak menjadikannya lebih baik pastinya memalukan.

“Malah, jika kedudukan serta pencapaian itu tidak ditambah baik ia sudah pasti akan menjadi satu bukti kegagalan besar yang amat mengaibkan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri,” katanya pada Sidang DUN Johor, di sini sebentar tadi.

Oleh itu, Hasni berkata, BN teruja dan amat menantikan pembentangan oleh Menteri Besar tentang pelan pembangunan ekonomi jangka masa pendek dan panjang untuk Johor, sekali gus menyentuh hala tuju pembangunan negeri ini secara mendasar serta lengkap.

“Janganlah sekadar menukar nama, mengitar atau mempakejkan semula pelan dibuat BN sebelum ini, harap-harapnya tidaklah PPSJ dibentangkan pula sebagai Pelan Pertumbuhan Strategik Harapan Johor (PPSHJ),” katanya. - UTUSAN ONLINE