Sebaliknya, menurut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, konsep tersebut seharusnya turut direalisasikan dalam bentuk hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri tanpa sebarang masalah.

Katanya, ia penting memandangkan konsep federalisme itu adalah untuk kepentingan dan masa hadapan rakyat.

Yahaya berkata, bagi kerajaan negeri, pendekatan yang diambil dengàn meneruskan pelaksanaan program yang dianggap baik oleh kerajaan terdahulu adalah untuk kepentingan rakyat.

Malah katanya, menerusi pembentangan bajet negeri 2019 bulan lalu, pelaburan dalam bidang pendidikan diletakkan sebagai perkara paling penting.

“Antara peyumbang utama jumlah belanjawan yang bakal dilaksanakan nanti ialah menerusi hasil royalti petroleum dan gas di mana sebahagiannya telah dibayar oleh kerajaan persekutuan dan kita harap pembayaran seterusnya dapat dilakukan mengikut perjanjian awal iaitu sebanyak lima peratus.

“Kita berharap konsep Malaysia Baharu yang dilaungkan kerajaan PH tidak mempermainkan kita, sebaliknya memperkukuhkan hubungan antara kerajaan”, ujarnya.

Yahaya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Marang berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 peringkat Parlimen Marang di Sekolah Menengah Agama Marang, di sini hari ini.

Sementara itu, Yahaya turut berharap supaya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tidak terlalu banyak melakukan perubahan terhadap polisi pendidikan sedia ada.

“Walaupun kerajaan berubah, tetapi bidang pendidikan ini merupakan bidang yang tidak memerlukan perubahan yang sangat drastik. - UTUSAN ONLINE