Rahemah Idris

Wakil Pergerakan Wanita UMNO, Rahemah Idris berkata, dasar, polisi mahupun program yang sentiasa diubah bukan sahaja akan mendatangkan kesulitan malah menjejaskan tahap keberkesanan matlamatnya.

“Sebagai contoh, pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), kita bukan hendak menentang pengajaran menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Tetapi ini sekejap buat, sekejap tidak mahu buat, siang malam kita (guru) pergi kursus, sekejap bahasa Melayu, sekejap bahasa Inggeris, kita pening, murid pening malah orang Kementerian Pendidikan juga pening,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Memberikan contoh lain, Rahemah yang juga seorang guru memberitahu, baru-baru ini, dalam pengumuman Bajet 2016, kerajaan telah mengumumkan bantuan awal persekolahan hanya diberikan kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

“Memang sekarang ini suami isteri berpendapatan RM4,500 apabila digabungkan, tetapi kena ingat mereka ada lapan orang anak di­sara.

“Oleh itu macam bantuan ini, kalau hendak bagi, bagi terus, ini sekejap bagi, sekejap tidak bagi.

“Sebab itu, ibu bapa marah, cikgu marah dan paling penting pe­ngundi marah,” katanya.

Dalam pada itu, Rahemah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Ayer Hitam turut mengingatkan kepada Kementerian Pendidikan supaya tidak menaburkan janji yang tidak boleh ditunaikan.

“Saya ingat lagi semasa sambutan Hari Guru lalu mereka janjikan hendak berikan komputer, namun sampai hari ini tidak ada.

“Oleh itu jangan buat janji, kita tidak berharap, kami guru-guru mampu tetapi tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang,” ujarnya.