MENTERI BESAR TERENGGANU, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan mudah sebegitu bagi menepis ketidakupayaan untuk melakukan sesuatu yang diharapkan pastinya menimbulkan pergeseran politik yang tidak berkesudahan, dan permasalahan rakyat pula akan berpanjangan.

“Kita nak bawa politik kasih sayang, kurangkan ketegangan di bawah. Antara natijah politik matang dan sejahtera ialah memastikan masalah rakyat diselesaikan, bukan hanya berpolitik, itu intipati dibawa oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden Pas).

“Mungkin kalau kita tenguk itulah yang berlaku di peringkat Persekutuan... mengapa tak boleh dibuat,.. ooh kerana orang dulu. Cara mudahnya salahkan orang lain, itu cara lama. Cara yang baharu ialah cari jalan untuk buat, “ujarnya dalam temu bual dengan portal rasmi Pas hari ini.

Di bawah kepemimpinan kerajaan baharu yang diterajuinya, beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik kerana mahu Pas terus diberi kepercayaan oleh rakyat, dan bukan sekadar penggal ini.

“Saya sudah turun kelapan buah daerah dalam tempoh dua bulan pertama. Saya mendengar taklimat dan bersoal jawab tentng isu -isu semasa, melawat kawasan-kawasan bermasalah, dan kita cuba cari pendekatan untuk diselesaikan secara berperingkat,”ujarnya.

Beliau gembira kerana barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri juga pantas untuk memahami, menguasai bidang tanggungjawab masing-masing, dan dengan kepelbagaian latar belakang, kebolehan dan kemahiran, mereka saling melengkapi.

Justeru katanya, kerajaan negeri dapat dimantapkan lebih awal berbanding dengan negeri -negeri lain, dan keupayaan mereka, jika tidak melebihi, berada pada tahap setanding.

Katanya, tempoh 100 hari memperlihatkan proses pertukaran kerajaan berjalan dengan lancar manakala pentadbiran dapat diteruskan dengan mudah dengan kerjasama semua pihak temasuk pegawai kerajaan dan pembangkang, sambil menyimpulkan harapan itu telah tercapai.

Menurut beliau, pertukaran sesebuah kerajaan bukan mudah kerana tidak berlaku dengan kerap malah mengambil masa 14 tahun di negeri ini, justeru yang paling penting ialah memastikan proses itu dilalui dalam suasana tenang.

Dalam melakukan perubahan dan menangani permasalahan, menurut beliau, tidak semua dapat digerak atau diselesaikan hanya dalam tempoh setahun malah adalah lebih baik sebarang inisiatif yang diambil tidak dilakukan dalam keadaan mengejutkan apabila dapat difahami lebih awal oleh rakyat.

Menyentuh mengenai penerimaan royalti minyak yang masih menjadi tanda-tanya, beliau berkata, kerajaan Pusat telah memberi komitmen untuk membayar secara terus kepada kerajaan negeri berasaskan perjanjian yang asal.

“Tempoh penerimaan waran ini adalah pada bulan ini atau bulan depan, dan kerajaan negeri akan mengambil sikap tunggu dan lihat,” ujarnya tanpa menyebut anggaran jumlah yang disasarkan.-UTUSAN ONLINE