Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad malah beliau turut mempersoalkan sikap pemimpin di Kota Darulnaim yang baharu sekarang mahu meniliti semula kadar tersebut selepas rakyat mula tertekan.

Beliau berkata, sekiranya kenaikan kadar tersebut diteruskan, ini melambangkan kerajaan Pas Kelantan tidak prihatin dan tidak menjaga kebajikan rakyat memandangkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya tidak mengikut jejak langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang langsung tidak mempedulikan nasib golongan miskin berpendapatan rendah dan kumpulan yang memerlukan.

“Saya memandang berat langkah kerajaan negeri yang dikatakan telah menaikkan tariff percukaian baru sehingga dikatakan ada yang mencecah 500 peratus kenaikannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan Pas Kelantan akan meneliti semula tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri yang dikatakan menaikkan kadar bayaran beberapa urusan hartanah terlalu tinggi berbanding kadar asal, iaitu sehingga 500 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Secara amnya, semakan semula kadar bayaran berkaitan hartanah termasuk premium tanah di negeri ini perlu dilakukan kerana proses itu sudah tertangguh sejak hampir 30 tahun lalu.

Md. Alwi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, sebarang kenaikan kadar percukaian yang dikenakan oleh kerajaan Pas Kelantan sepatutnya disertakan dengan insentif atau apa-apa pemberian baru kepada rakyat.

"Sebagai pembangkang saya memahami kerajaan negeri memerlukan wang yang banyak untuk terus relevan dan menjadi kerajaan negeri yang berjaya namun langkah menaikkan kadar cukai yang terlalu tinggi perlu diteliti dan dikaji semula agar ia tidak membebankan rakyat.

"Pada sidang bajet yang lepas kita telah mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memikirkan cukai harta kepada golongan berada dan pemilik hartanah yang bernilai melebihi RM500 ribu untuk satu-satu hartanah," katanya. - UTUSAN ONLINE