Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, difahamkan tiga pasar raya terkenal di negeri ini iaitu Giant, Parkson dan Pusat Beli Belah Billion bakal gulung tikar berikutan kuasa beli rakyat yang semakin menurun.

Beliau berkata, kira-kira 30 peratus rumah kedai atau premis perniagaan dalam bandar pula terbiar kosong tanpa penyewa.

"Kebanyakan penyewa hanya dapat bertahan antara enam bulan hingga dua tahun sahaja sebelum menutup perniagaan mereka.

"Kita mahu kerajaan Kelantan buat sesuatu dengan segera sebelum segalanya menjadi hancur, masalah ekonomi amat berkait dengan isu sosial kerana apabila.tiada wang maka jenayah berleluasa sebagaimana kita dapat lihat hari ini.

"Pas mendapat mandat yang besar buat sekian kali selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) dan sudah berkuasa selama 28 tahun tetapi kita lihat keadaan ekonomi begitu malap sekali dan tiada kesungguhan kerajaan negeri meningkatkan ekonomi rakyat," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Azmi berkata, kelesuan perniagaan yang meliputi pelbagai sektor termasuk pembekal perkakasan dan pembinaan bukan sahaja menjejaskan peniaga besar tetapi juga peniaga kecil.

Tegasnya lagi, kegagalan Pas menarik pelabur bagi merancakkan sektor perkilangan di Pengkalan Chepa juga sangat menghairankan apabila hanya satu sahaja kilang besar Jepun yang beroperasi itupun sebenarnya hasil usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Kelantan sebelum diambil alih Pas dahulu.

"Apabila peniaga gulung tikar ramai orang akan kehilangan pekerjaan dan majoritinya sudah tentu orang Melayu," katanya. - UTUSAN ONLINE