Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nasuruddin Daud berkata, persidangan kali ini berlangsung dalam suasana harmoni kerana sikap positif semua wakil rakyat yang mengambil bahagian.

“Kita ingin mengucapkan terima kepada semua ADUN termasuk pembangkang yang menjadi ADUN yang mesra kerajaan negeri.

“Memang kita sentiasa mengalu-alukan apa sahaja pandangan baik daripada sesiapa pun, dan suara-suara yang mengajak kepada kesatuan juga amat kita alu-alukan kerana ia merupakan sebahagian perintah Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi portfolionya dalam sidang DUN Kelantan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nasuruddin meminta umat Islam tidak keliru dengan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang semakin kerap disebut pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, salah faham terhadap makna sebenar konsep itu menyebabkan ada dalam kalangan umat Islam sendiri tidak kisah membiarkan hak mereka dinafikan.

“Rahmatan Lil Alamin ini kadang-kadang disalah tafsir sampai orang nafikan hak kita pun, kita biarkan.. ini salah. Orang halang kita melaksanakan hak kita pun kita diamkan, ini juga salah.

“Sehingga golongan LGBT (lesbian, gay, bisektual dan transeksual) berani buat perarakan di negara ini pun kita sebagai pemerintah tidak mahu bertindak atas alasan Rahmatan Lil Alamin. Ini salah!’ katanya.

Menurut beliau, mengikut konsep Rahmatan Lil Alamin sebenar, hanya umat Islam yang mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW akan beroleh rahmat Allah SWT manakala sesiapa yang ingkar, gagal mendapat rahmat daripada-Nya. - UTUSAN ONLINE