Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron berkata, tindakan pihak protokol kerajaan negeri yang mewajibkan semua wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memakai pakaian istiadat pada hari ini juga amat tidak wajar kerana kebanyakan wakil rakyat perlu menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata, sebagai tanda protes, 12 orang ADUN kecuali seorang yang kini menunaikan umrah serta dua orang Senator daripada Barisan Nasional (BN) memakai baju kebangsaan hitam.

"Kami di pihak pembangkang memprotes tindakan kerajaan negeri PH yang tidak sensitif terhadap kehendak rakyat dan datang lewat, iaitu sebelum Yang Dipertua Negeri (Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob) menyampaikan ucapan perasmian.

"Tidak pernah dalam sejarah sidang DUN dirasmikan pada hari Jumaat, kerana masanya begitu singkat. Kami ingin mendengar ucapan Tun biasanya sejam atau dua jam tetapi kali ini hanya 26 minit," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian persidangan itu di Seri Negeri, di sini pagi ini.

Majlis perasmian persidangan DUN itu berlangsung pagi ini dan persidangan tersebut akan berjalan selama empat hari bermula Isnin depan. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari, Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar serta barisan Exco dan ADUN daripada kerajaan PH dan pembangkang.

Sementara itu, Adly ketika ditemui memberi jawapan pemilihan hari Jumaat untuk majlis perasmian persidangan ini adalah disebabkan kerajaan negeri memuliakan Jumaat yang merupakan penghulu segala hari.

"Jumaat adalah penghulu segala hari, saya tidak tahu dia (ketua pembangkang) tafsir bagaimana tapi bagi kerajaan negeri, sebagai hari yang terbaik kita patut muliakan dengan perasmian persidangan ini," kata beliau. - UTUSAN ONLINE