Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada sebarang majlis seperti yang didakwa dan khabar angin yang sama sekali tidak memberi manfaat itu sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab

Katanya, tindakan menularkan berita palsu itu adalah satu perbuatan yang bukan sahaja tidak sihat malah membuang masa.

"Saya belum mendapat jemputan lagi (menghadiri majlis angkat sumpah) dan setakat ini tiada. Bagi saya, kita semua jangan buang masa dengan macam-macam khabar angin yang ditularkan.

"Semua ini adalah perkara tidak sihat dan ada tangan-tangan nakal yang begitu kreatif sebarkan khabar angin ini. Lebih baik kreativiti itu digunakan untuk perkara yang membangun, bukannya yang mereka fikir seronok tetapi sebenarnya tiada manfaat. Jangan buat kerja yang merugikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson kali ke-101 di Padang SMK Anderson di sini hari ini.

Dakwaan BN akan merampas semula kerajaan Perak tular dalam media sosial termasuk aplikasi WhatsAap apabila mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad akan menjadi Menteri Besar Perak yang baharu dan majlis angkat sumpah tersebut akan diadakan di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini. - UTUSAN ONLINE