Beliau berkata, sebelum ini banyak janji dibuat kerajaan gagal ditunaikan dan ini menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan sama ada ICERD benar-benar akan dibatalkan.

"Saya harap kerajaan mengotakan apa yang dicakapkan. Kita tak puas hati kalau setakat cakap untuk batalkan ICERD. Sebab itu ada gesaan supaya ia disebut dalam Parlimen, supaya ia dijadikan hansard Parlimen.

"Kalau cakap saja boleh pusing, tambahan lagi sekarang kita amat tak percaya dengan cakap saja. Kerajaan boleh buat kenyataan batal ICERD, esok dia kata kenyataan itu tak boleh pakai," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Mari Berselawat Sempena Sambutan Maulidur Rasul di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Latteffah Aliyaru Kunju.

Dalam pada itu, Mohamad mengesahkan beliau akan menyertai perhimpunan membantah ICERD, #DaulatHimpunan812 di Dataran Merdeka, esok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu turut menasihatkan semua peserta agar menjaga tatasusila dan patuh kepada peraturan serta undang-undang sepanjang perhimpunan itu.

"Ini merupakan perhimpunan aman dan penyatuan ummah, orang Melayu bersatu supaya jangan ada usaha mengubah struktur negara ini. Ini bukan soal orang Melayu saja tetapi juga pribumi lain. Tidak ada dasar di negara ini yang menindas kaum lain.

"Kita satu-satunya negara yang amalkan dasar integrasi dan bukan asimilasi seperti di Indonesia dan Thailand. Kita membenarkan mereka amalkan agama, bahasa malah sekolah vernakular banyak dibina," katanya. - UTUSAN ONLINE