Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dilihat seolah-olah masih mempunyai cita-cita untuk meratifikasi triti berkenaan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

"Jadi ini pun kita dah nampak bahawa mereka tidak serius. Kerajaan PH hanya takut sementara tetapi kita yakin pada hari lain mereka akan kemukakan semula ICERD.

"Sebab itu kita perlu berhimpun esok dan saya harap semangat UMNO dan Pas akan diteruskan jangan berhenti setelah perhimpunan esok selesai," katanya ketika berucap di pra perhimpunan #DaulatHimpunan812 meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD di Dataran Medan Selera Wira Damai, Gombak, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi; Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Semalam, Mohamad Ariff telah menolak usul yang dibawa Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dengan alasan ia adalah tertakluk di bawah Peraturan 18.

Malah, katanya, perkara berkenaan juga tidak dianggap sebagai sesuatu yang perlu disegerakan dalam konteks semasa. - UTUSAN ONLINE