Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, kerajaan mengambil maklum cadangan pekebun kecil dan penoreh getah supaya harga lantai komiditi itu ditetapkan antara RM3 ke RM4 sekilogram.

“Kita mengkaji cadangan ini sama ada ia berkesan atau tidak dan yang lebih penting perlu berkisar kepada kemampuan kewangan negara.

“Kita tidak mahu nanti apabila harga lantai tinggi ditetapkan, akan berlaku penyeludupan getah misalnya dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sayang Komoditi, Bual Bicara Latihan dan Kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selancar di sini hari ini.

Shamsul berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memperjuangkan nasib pekebun kecil dan penoreh getah ekoran kejatuhan harga komoditi itu ketika ini. - UTUSAN ONLINE.