Sambil melahirkan rasa kecewa dengan pendedahan itu, Ketua Pemuda MCA negeri, Datuk Michael Lee Beng Seng (gambar) berkata, hasil kutipan caruman saliran itu sangat kritikal kerana melibatkan soal keselamatan penduduk dan harta-benda.

Ujar beliau, tindakan itu juga mengejutkan memandangkan masalah banjir kilat di negeri ini semakin buruk dengan daerah Seberang Perai dilapor­­kan mengalami bencana tersebut sebanyak 21 kali tahun lalu.

“Adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang sanggup memaklumkan kepada penduduk negeri ini yang mana kegagalan mereka menyelesaikan masalah ban­jir kilat itu adalah di­sebabkan masalah tek­nikal?” katanya dalam sa­tu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas La­poran Ketua Audit Negara minggu lalu yang me­nyatakan Majlis Per­bandaran Seberang Perai (MPSP) tidak menyerahkan kesemua wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPS negeri untuk diakaunkan.

Menurut laporan itu, sehingga Jun tahun lalu, jumlah kutipan caruman saliran terkumpul yang belum diserahkan kepada JPS negeri adalah sebanyak RM22.09 juta.

Difahamkan, pemaju di negeri ini perlu membayar kira-kira RM50,000 setiap 0.4 hektar (seekar) kepada MPSP yang sepatutnya disalurkan kepada JPS negeri untuk projek tebatan banjir dan pembentungan.

Michael menambah, tindakan MPSP yang tidak menyerahkan keseluruhan hasil caruman itu menimbulkan pertanyaan memandangkan kerajaan DAP Pulau Pinang boleh membayar sebanyak RM220 juta kepada konsultan bagi projek pembinaan tiga lebuh raya.

Malah, kata beliau, bayaran itu juga jauh lebih tinggi daripada keseluruhan RM100 juta yang dilaporkan digunakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat sepanjang sembilan tahun pemerintahan iaitu dari 2008 hingga 2016.