Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sebuah kerajaan mereka tidak boleh lepas tangan berhubung isu tersebut kerana ia melibatkan nyawa selain memberikan kesan kepada penduduk di kawasan sekitar.

 "Kita simpati kepada rakyat Pulau Pinang dengan apa yang berlaku, ini adalah hasil daripada dasar kerajaan negeri yang lebih mementingkan nilai komersial dan ekonomi.

 "Daripada memikirkan soal rakyat. Bagi saya mereka (Kerajaan Dap Pulau Pinang) perlu bertanggungjawab terhadap isu ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan pasukan Piala Emas Raja-Raja Kelantan di sini hari ini.

 Dalam kejadian Sabtu lalu, seramai 11 orang terkorban selepas tertimbus tanah runtuh ketika bekerja di tapak pembinaan di tepi lereng bukit di Tanjung Bungah kira-kira pukul 8.50 pagi.

 Mereka yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan 10 pekerja asing ketika kejadian sedang menyiapkan bahagian bawah tanah tapak projek bagi pembinaan sebuah rumah mampu milik setinggi 50 tingkat.

 Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu Pas sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

 Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu juga mendakwa Kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir. - UTUSAN ONLINE