Jason Loo
Jason Loo
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo berkata, ia terbukti selepas permohonannya untuk mengakses maklumat tiga projek tambakan laut di Tanjung Sri Pinang 1, Tanjung Sri Pinang 2 dan Gurney Wharf telah ditolak pada 3 April lalu.

Jelasnya, kerajaan negeri me­lalui Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Dr. Mohamad Farazi Johari memberi alasan kesemua dokumen tidak boleh didedahkan kerana perlu dibaca bersama perjanjian asal dan pemegang konsesi projek itu tidak bersetuju mendedahkannya.

Untuk itu tegas Jason, beliau bersama peguam dan beberapa ahli parti akan memfailkan representasi rayuan kepada Lembaga Rayuan berhubung permohonan mengakses maklumat projek bernilai lebih RM46 bilion itu pada minggu hadapan.

“Jika permohonan itu masih gagal, kita tidak teragak-agak membawa kes ini ke mahkamah kerana kerajaan ne­geri dilihat terus berkeras dengan menyembunyikan fakta projek tambak laut daripada pengetahuan umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Parti Gerakan negeri di sini hari ini.

Jason yang kecewa dengan prosedur Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semasa permohonan dibuat mendakwa, pihak berkuasa tempatan itu sengaja melengah-lengahkan permohonannya yang mewakili lebih 1.6 juta penduduk negeri yang masih keliru tentang keluasan projek tambakan laut.

“Semasa saya membuat permohonan mengakses maklumat projek itu, petugas MBPP tidak berjaya menyelesaikannya de­ngan cepat malah keliru siapa individu atau bahagian yang bertanggungjawab mengendalikan permohonan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya selama ini mengamalkan konsep keterbukaan untuk tidak berselindung daripada rakyat kerana setiap projek dibangunkan di negeri ini melibatkan wang mereka.

“Berhenti beri alasan projek tersebut tidak boleh didedahkan kerana di bawah perakuan berkanun atau pemaju tidak bersetuju mendedahkannya selain perjanjian utama projek dan tambahan tidak bersifat terbuka,” tegasnya.