ZAINAL ABIDIN OSMAN

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, selama 10 tahun mentadbir ne­geri ini juga, Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal melaksana banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

“DAP walaupun hanya 10 tahun memerintah, huru-hara jadinya. Tak habis-habis de­ngan pelbagai isu. Ini secara tidak langsung me­nunjukkan ketidakcekapan ke­ra­jaan mereka,” katanya kepada pem­be­ri­ta selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubu­ngan UMNO negeri di sini semalam.

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Zainal Abidin memberitahu, UMNO negeri sebulat suara bersetuju untuk kekal bertan­ding di 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita akan bagi tumpuan sama rata terhadap kesemua 20 kerusi tersebut. Sekiranya perancangan ini berjalan lancar, saya yakin kita boleh mencapai kemena­ngan di semua kerusi yang kita tandingi,” ujar beliau.

Ditanya mengenai calon Pilihan Raya Umum Ke-14, Zainal Abidin bagaimanapun berkata, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara tersebut secara terbuka.

Bagaimanapun, ujar beliau, UMNO negeri sudah menghantar senarai calon untuk dipertimbangkan dan ketika ini juga tiga calon sudah disenarai pendek.

“Kita tidak tahu jika ada pertukaran atau tidak, kita serah kepada Perdana Menteri untuk tentukan.

“Kita hanya buat kerja kita sahaja. Soal calon kita serah bulat-bulat kepada Presiden parti untuk menentukan kerana beliau ada kebijaksanaan yang tersendiri dalam hal ini,” kata­nya.