Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden UMNO yang menja­lankan tugas-tugas Presi­den, Da­tuk Seri Mohamad Hasan yang memberitahu, cadangan pem­bentukan kerajaan campu­ran dikenali sebagai kerajaan `Penya­tuan Ummah’ itu sudah pun dibincangkan dengan Pas da­lam Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, satu jawatankuasa kerja juga telah diwujudkan di peringkat UMNO dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa dibentuk Pas kelak.

“Sebab itu saya bincang de­ngan Pas tempoh hari, kalau boleh kita mulakan dulu kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan `Penyatuan Ummah’ ini di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Manakala di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (PH) juga kita akan ‘goncangkan’ agar mereka (PH) tidak senang duduk,” katanya ketika berucap pada Maj­lis Perjumpaan Khas bersama kepemimpinan UMNO Melaka di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO nege­ri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Ketua UMNO Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Jelas Mohamad, agenda pe­nyatuan ummah itu memberikan parti itu semangat baharu untuk berjuang membela nasib orang Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Mohamad menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai usaha melancarkan ‘perang’ terhadap bukan Islam.

“Adakah saya dianggap rasis jika saya menyeru supaya orang Melayu dan umat Islam di negara ini untuk bersatu padu seperti diajar dalam Islam?

“Sebab itu bila UMNO dan Pas buat kerjasama secara rasmi, Guan Eng ‘melompat’ sampai terlepas kata. Sebenarnya, itulah yang ada dalam hatinya,” ujar beliau.