Calon Pakatan Harapan (PH) itu menyuarakan keyakinannya setelah melihat sambutan yang diterima daripada orang Melayu serta kaum Cina dan India sejak mula berkempen 29 September lalu.

Anwar menyatakan beliau belum pernah melihat semangat orang Melayu untuk menyokong PH begitu tinggi seperti yang dilihatnya sekarang.

“Saya tengok orang Cina tak tengok saya sebagai Melayu, mereka tengok saya sebagai kawan, saya ucap terima kasih banyak.

“Kalau kawasan India, saya tengok, undi saya tak tahu, saya datang sini satu minggu, saya suka, saya buat keputusan yang baik dan betul pilih Port Dickson,” kataya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perdana yang turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Lukut di sini, malam ini.

Sementara itu, Kit Siang berkata, PH perlu berkuasa di negara ini sekurang-kurangnya 10 tahun untuk membentuk Malaysia Baharu.

Beliau menjelaskan, kesilapan berlaku dalam proses membina Malaysia Baharu namun PH bersedia mengakuinya dan seterusnya berusaha dengan lebih baik.

“Kita mahu rakyat Port Dickson memimpin seluruh negara untuk membina Malaysia Baharu yang adil, makmur dan maju,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE