Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, keputusan rasmi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands itu akan diumumkan sebaik dipe­roleh.

"Kita menyasarkan keputusan rasmi akan diperoleh pada pukul 10 malam atau sebelum itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat dan proses semakan akhir peti undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Azhar Azizan dalam kenyata­annya sebelum ini memberi­tahu bahawa SPR merekodkan seramai 31,749 pengundi berdaftar di Parlimen Cameron Highlands yang layak mengundi pada PRK Parlimen itu, esok.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos, sekali gus menjadikan mereka yang layak mengundi biasa esok adalah seramai 31,639 orang.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penutupan awal 23 daripada 29 pusat mengundi, beliau menegaskan tindakan itu tidak akan mengganggu kelancaran proses pengundian kali ini kerana telah dilaksanakan pada proses pilihan raya lain sebelum ini.

Malah katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pusat-pusat tersebut juga ditutup awal kerana jarak antara lokasi itu dan pusat perjumlahan undi adalah jauh.

“Sekiranya pada PRU-14, perkara ini tidak pernah menjadi isu, saya berasa sedikit hairan dan tidak faham kenapa ia menjadi isu pada kali ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau ber­kata, meskipun beberapa pusat mengundi itu ditutup awal, SPR telah menambah saluran mengundi untuk memastikan kelancaran proses pengundian di mana pengundi tidak perlu menunggu terlalu lama.

Dalam pada itu katanya, terdapat juga lokasi pengundian yang ditutup lewat 30 minit berbanding semasa pilihan raya umum lalu.