Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman tersebut yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan mengenai PRK di DUN itu hanya akan dimuktamadkan oleh kepimpinan Pas peringkat pusat dalam tempoh terdekat ini.

"Keputusan UMNO untuk memberi laluan kepada Pas dalam PRK DUN Seri Setia nanti kita sangat alu-alukan. Pas telah mengambil langkah yang sama dalam PRK di DUN Sungai Kandis apabila tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN.

"Justeru, kita melihat pengumuman itu merupakan usaha positif sekaligus mampu memperkasakan kerjasama blok pembangkang bagi menghadapi Pakatan Harapan," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.

Mohamad menerusi laporan media tempatan hari ini memaklumkan BN akan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding dalam PRK di DUN Seri Setia.

Menurutnya, keputusan itu merupakan tanda penghormatan serta menghargai pengorbanan Pas yang sebelum ini telah memberikan laluan kepada BN bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandang kerusi itu, Prof. Dr. Shaharudin Badaruddin, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya, kira-kira pukul 6.28 petang semalam dipercayai menghidap kanser kolon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Dr. Shaharuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri itu memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan dengan majoriti 19,372 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff; Mohd. Ghazali Daud (Pas) serta calon Bebas, S. Vigneswaran. - UTUSAN ONLINE