Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, krisis dalaman DAP melibatkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dengan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw menyebabkan parti itu tidak dapat menumpukan untuk merencana pembangunan di kawasan itu.

Katanya, tanpa kerja keras BN, kawasan Parlimen itu tidak ubah seperti bandar yang 'mati' kerana tiada pembangunan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen sedia ada.

"Kita tengok sekian lama Parlimen Kepong di bawah DAP, tiada sumbangan yang mereka lakukan malah tidak membawa apa-apa kemajuan. Semua pembangunan adalah hasil perjuangan BN, itulah realiti dan faktanya.

"Pemimpin BN di Kepong yang diketuai oleh UMNO merupakan orang yang bertanggungjawab memberi kemudahan dan mentransformasikan Kepong termasuk prasarana yang sangat hebat, perumahan mampu milik untuk penduduk berpendapatan rendah dan macam-macam lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Prihatin BN Parlimen Kepong, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE