Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, BN bukanlah ditubuhkan untuk memperkasakan UMNO, tetapi matlamatnya adalah untuk memupuk perpaduan dan hubungan erat semua lapisan rakyak Malaysia serta mentadbir secara saksama ke arah kesejahteraan dan keharmonian bangsa Malaysia.

“MCA akan memberi peluang kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir dan buat masa ini kita akan membuat teguran dalam memainkan peranan kami sebagai parti pembangkang.

“Namun begitu, MCA tidak akan membuat provokasi perkauman atau membakar api kebencian terhadap pemimpin Melayu seperti yang diamalkan DAP sebelum ini semata-mata untuk mendapat undi masyarakat Cina, kita walaupun sebuah parti mewakili suara masyarakat Cina akan tetap pegang pada susun atur Perlembagaan dan semangat Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong dipilih sebagai presiden baharu MCA setelah mencapai kemenangan besar dalam pertandingan tiga penjuru.

Berikutan kemenangan itu, Ka Siong, yang berkhidmat sebagai timbalan presiden selama satu penggal, menjadi presiden MCA ke-11, menggantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tidak mempertahankan jawatannya.

Sekutu beliau, Datuk Dr. Mah Hang Soon pula memenangi jawatan timbalan presiden dengan memperoleh 428 untuk mengatasi pencabarnya, Datuk Tee Siew Keong, yang mendapat 201 undi. - UTUSAN ONLINE