Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap paling mencabar dan lafaz baiah merupakan faktor penting dalam mengikat calon serta mengukuhkan jemaah dalam parti itu.

"Setakat ini Kita belum bincang secara terperinci (lafaz baiah cerai talak tiga). Kita akan rumus di peringkat Majlis Syura Ulama Pas terlebih dahulu sebelum kebawahkan keputusan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Raikan Cinta 2018 dan penyerahan cek kepada 438 pasangan pengantin baharu penerima skim Gerbang Az-Ziwaaj, di sini hari ini.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata, Pas yakin dengan kekuatan dan kesetiaan ahlinya dan akan menggugurkan sumpah baiah yang melibatkan perceraian talak tiga.

Sebelum ini, setiap wakil rakyat Pas Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara tersebut terkandung dalam lafaz baiah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.

Antara wakil rakyat Pas yang melanggar baiah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Husam Musa yang kini bersama PAN. - UTUSAN ONLINE