Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan 182 ahli DAP keluar parti itu di Melaka semalam secara tidak langsung menyerlahkan sikap sebenar Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

“Ketika saya baru menyertai DAP, terdapat seorang senior dalam parti mengingatkan saya supaya jangan sesekali melanggar arahan orang atasan atau bersedia untuk dikecam.

“Pesan senior itu lagi, jika berdegil mahu menyuarakan pendapat juga maka bersedialah untuk menjadi sasaran mereka seterusnya dipinggirkan daripada semua perkara penting dalam parti. Jadi, tidak pelik jika ramai keluar DAP selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan 182 ahli DAP di Melaka bertindak keluar parti itu semalam.

Sementara itu, bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman memberitahu, ahli-ahli DAP sepatutnya berfikir semula sama ada wajar atau tidak untuk mereka kekal dalam parti itu.

Menurut beliau, amalan kronisme yang sudah terang lagi bersuluh dalam DAP terbukti apabila Lim Hui Ying iaitu adik Guan Eng dilantik sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang.

“Seperti semua sedia maklum, dalam DAP ini hanya Setiausaha Agung yang berkuasa manakala jawatan lain termasuk Presiden hanya boneka kosmetik semata-mata.

“Jadi, ahli-ahli yang masih dalam DAP berfikirlah semula sama ada mahu terus kekal atau tidak dalam parti itu. Jika ya, adakah kepemimpinan anak-beranak seperti ini layak membawa perubahan kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang Baharu, R. Vellasamy berkata, tindakan beramai-ramai ahli DAP keluar parti itu merupakan amaran kepada Kit Siang dan Guan Eng supaya berubah atau bersedia untuk digulingkan oleh akar umbi.

Katanya, Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan perlu sedar diri dan jangan asyik memberi jawatan kepada ahli baharu.

“Orang lama yang penat bekerja dan berjuang dalam parti hanya gigit jari apabila setiap kali pelantikan semua jawatan diberikan kepada ‘orang-orang’ Lim sahaja, jika dipersoalkan kita ditempelak oleh mereka pula,” katanya.

-habis-