Pengerusi Hisbah Centre For Reform (Hisbah), Datuk Mohd. Ezam Mohd. Nor berkata, setelah lebih 100 hari memerintah negara, kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya berada di tahap maksimum bekerja untuk rakyat dan bukan lagi mengheret persoalan lalu.

Lebih memeranjatkan, katanya, perkara yang dibicarakan adalah tentang titah Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan tertutup di Istana Negara yang seharusnya dipelihara kehormatannya.

“Berhenti berbicara soal jawatan, tumpu perhatian kepada kerja yang dimandat oleh rakyat dengan gaji yang dibayar rakyat. Jawatan bukan untuk dibuat sebagai pesona atau kemegahan sebaliknya jawatan adalah amanah.

“Lebih-lebih lagi dalam prestasi ahli Kabinet yang masih belum mendapat keyakinan tinggi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wan Azizah dalam lawatan kerjanya di Indonesia semalam mengakui pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Mohd. Ezam menambah, tugas seorang Timbalan Perdana Menteri adalah membantu Perdana Menteri dan bukannya menguar-uarkan dirinya pernah ditawarkan ke jawatan orang nombor satu negara itu.– UTUSAN ONLINE