Menurut peguam Azril Mohd. Amin, Tommy seharusnya perlu mengambil peranan mengharmonikan suasana dan tidak menyalahkan mana-mana pihak lebih-lebih lagi selepas kerajaan membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

“Pada pandangan saya, kenyataan Tommy hari ini adalah bersifat politik, beliau sepatutnya mengharmonikan suasana terutama selepas terdapatnya sentimen daripada Majlis Raja-Raja.

“Jangan salahkan mana-mana pihak dan beliau perlu menghormati pendirian kerajaan pada hari ini yang telah memutuskan menarik diri daripada menyertai Statut Rom,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Semasa menjadi panel dalam Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) Sabtu lalu, Tommy dilaporkan mempertahankan keputusannya menasihati kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom kerana keputusan itu pernah diputuskan oleh Kabinet pada 2011.

Azril yang juga Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) berkata, sememangnya kerajaan pada 2011 telah bersetuju untuk menyertai Statut Rom namun tiada tindakan susulan diambil selepas itu.

“Jika bersandarkan fakta, memang perkara ini telah dibincang sejak 1998 dan pada 2011, Kabinet telah membuat keputusan bersetuju dengan memberikan komitmen untuk menyertai Statut Rom. Namun selepas itu tiada tindakan susulan daripada kerajaan termasuk tidak menyertakan instrumen penyertaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Raja-Raja Melayu juga sudah membuat keputusan dalam isu Statut Rom dan sepatutnya tiada lagi mempertikaikannya.

“Tanggungjawab Peguam Negara adalah untuk menasihati kerajaan dari sudut undang-undang. Beliau juga sebelum ini dipersoal kerana gagal memuaskan hati Raja-Raja Melayu dengan hujahan beliau.

“Apabila Raja-Raja Melayu sudah membuat keputusan seharusnya tiada lagi yang mempertikaikannya seperti yang berlaku di dalam forum tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoal dan mempertikaikan alasan Tommy bahawa keputusan menasihati kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom adalah bersandarkan keputusan Kabinet pada 2011.

“Bukankah pada 2011 itu kerajaan lama, kerajaan sekarang mengisytihar kepentingan kedaulatan undang-undang, jadi Peguam Negara perlu teliti sama ada keputusan tersebut menurut undang-undang atau tidak. Bukan sekadar meneruskan apa yang sudah diputuskan sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE