Sambil menyifatkannya sebagai berita palsu, Saifuddin berkata, beliau telah pun menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dalam PH berhubung perkara berkenaan dan diberitahu tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.

Sehubungan itu menurutnya, penularan berita seumpama itu adalah untuk mewujudkan ketegangan hubungan parti-parti komponen dalam gabungan parti pemerintah berkenaan.

“Yang viral kononnya ada empat setiausaha parti dalam PH mengeluarkan kenyataan sebagai respon kepada Nurul Izzah adalah tidak benar sama sekali.

“Saya sebagai Setiausaha Agung parti, saya menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dan tiada kenyataan tetapi hari ini ditularkan secara meluas dalam media. Ini satu lagi fake news digunakan untuk mewujudkan ketegangan hubungan parti dalam PH,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia KPDNHEP 2019 - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung penularan satu kenyataan menggunakan logo PH yang antara lain menyatakan bahawa kepimpinan gabungan politik iti tetap menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya bersama pimpinan parti komponen dan menyokong sepenuhnya misi membina semula negara daripada kleptokrasi.

Kenyataan itu kononnya dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR sebelum ini dalam satu temubual bersama akhbar Singapura, The Straits Times dilaporkan menggambarkan perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu sebagai ‘sangat mencabar dan huru-hara’.

Anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dikatakan menyatakan kekecewaan dengan kemasukan bekas wakil rakyat UMNO dalam PH, selain mengeluh tentang usaha menguatkan golongan moderat yang menurutnya tidak cukup.

“Bekerjasama dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan bukan saja kepada hidup kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Nurul Izzah.

Mengulas kenyataan berkenaan, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu, beliau belum sempat menghubungi Nurul Izzah berkenaan perkara itu.

Katanya, beliau memilih untuk bercakap sendiri dengan Nurul Izzah terlebih dahulu berkenaan kenyataan beliau kepada The Straits Times itu.

“(Saya akan bercakap sendiri kepada Nurul Izzah tentang) Apa sebenarnya cerita di sebalik itu dan kemudiannya barulah lebih berlaku adil untuk saya memberi sebarang komen,” katanya.

Ditanya tentang kekecewaan Nurul Izzah berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, beliau memberitahu: “Saya kenal Nurul Izzah... Dia ada pendirian tertentu terhadap sesuatu perkara dan biasanya dia memilih untuk menzahirkannya secara terbuka.”

Tambahnya, beliau menghormati pendirian Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen penggal ketiga yang dipilih oleh rakyat.

“Dia sudah tentu mempunyai sudut pandang tertentu bahawa PAC itu harus dipegang seseorang mewakili pembangkang.

“Saya menghormati pendirian beliau dan Perdana Menteri juga sudah memberikan komen dan apabila sampai masanya Perdana Menteri kata, ada calon sesuai perkara itu akan berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE