Batin Norya Abas
Batin Norya Abas

Pengerusi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Batin Norya Abas berkata, kenyataan itu juga amat mengecewakan memandangkan masyarakat Orang Asli telah lama diiktiraf sebagai warganegara dalam Perlembagaan Malaysia.

Menurutnya, kenyataan itu jga memperlihatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu tidak memahami masyarakat Orang Asli.

"Apa masalahnya? Rasanya dia bermimpi sebab dari segi Perlembagaan sememangnya Orang Asli adalah warganegara bukan separuh warganegara.

"Malah mengikut Perlembagaan Malaysia dalam senarai warganegara, Orang Asli berada pada kedudukan teratas diikuti oleh orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Seorang pemimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Ruil di Tanah Rata, Bah Long Siang Bah Abu, 46, berkata, kenyataan Kit Siang itu mengarut dan tidak sepatutnya ditimbulkan.

Katanya, sebagai individu yang sudah lama terlibat dalam politik, Kit Siang sepatutnya tahu kedudukan Orang Asli dari segi Perlembagaan.

"Apakah Kit Siang fikir selama ini kami Orang Asli ini sebagai pendatang? Bagi saya ini bertujuan memancing undi sahaja, jadi kepada Orang Asli janganlah percaya apa yang dikatakan oleh Kit Siang," katanya.

Hari ini tular kenyataan didakwa dikeluarkan Kit Siang dalam Facebooknya yang mengatakan jika PH menang di Cameron Highlands beliau akan meminta wakil Orang Asli dalam PH menyediakan draf bagi memberikan Orang Asli kewarganegaraan penuh. - UTUSAN ONLINE