Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kenyataan itu juga seolah olah mengajak masyarakat bukan Islam di negara ini supaya melihat dua parti tersebut sebagai musuh atau ‘entiti yang mereka harus berjaga-jaga’.

Namun katanya, hakikat sebenar tiada seorang pun rakyat bukan Islam yang menderita sejak negara merdeka di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) atau di negeri yang ditadbir Pas.

“Telah ditegaskan bahawa kerjasama UMNO dan Pas tidak sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain. Kenyataan itu jelas menunjukkan watak sebenar DAP yang sering memainkan sentimen rasis dan agama walaupun banyak kali kepimpinan mereka cuba menafikannya.

“Adalah sangat tidak waras untuk mengaitkan kerjasama Pas dan UMNO kepada pembunuhan umat Islam di New Zealand kerana budaya, iklim politik dan cara hidup di sana adalah tidak sama dengan masyarakat di Malaysia. Lagi pun, pembunuhnya ialah rakyat negara lain dan pembunuh itu pun bukannya ahli parti Pas atau UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE