Mohd. Fahim yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Iskandar Puteri berkata, sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai selama dua penggal seharusnya lebih arif dan mengetahui bahawa manifesto PH adalah satu dokumen melibatkan semua komponen parti PH.

"Sebagai rakan komponen dalam Pakatan Harapan, Dr. Boo Cheng Hau juga sepatutnya faham kenapa ketika ini ada tawaran yang dijanjikan masih belum terlaksana berikutan kedudukan kewangan negara kita tidak stabil ketika ini.

"Malah Pasukan Manifesto Pakatan Harapan juga berdepan pelbagai kesulitan ketika merangka tawaran dalam buku Harapan antaranya banyak data penting yang disembunyikan kerajaan terdahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Semalam Cheng Hau meminta Dr. Mahathir supaya berundur daripada jawatan Perdana Menteri kerana menganggapnya gagal dalam menunaikan janji-janji dalam manisfesto PH.

Mohd. Fahim berkata, adalah tidak adil meletakkan segala beban penyelesaian terhadap Dr. Mahathir sahaja dan perkara itu seharusnya menjadi tanggungjawab semua kepimpinan dalam PH untuk menjayakan tawaran yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Walaupun tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi DUN Skudai, beliau berkata, Cheng Hau seharusnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu dan bersama-sama membantu kepimpinan menyelesaikan masalah yang dihadapi dan bukannya menjadi duri dalam daging.

"Tindakan segelintir individu seperti Cheng Hau dikhuatiri boleh menjadi titik permulaan memecah-belahkan parti kompenan PH memandangkan beliau juga mempunyai rekod lampau yang boleh menjejaskan permuafakatan PH.

"Antaranya sering mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dipilih sebagai Pengerusi PH dan calon Perdana Menteri selain mempersoalkan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kepimpinan Pakatan Harapan Johor sebelum PRU-14," katanya.

Malah ujarnya, difahamkan banyak perkara yang dibuatnya bercanggah dengan kepimpinan DAP.

"Saya selalu Exco Armada Bersatu Pusat dan Ketua Armada Bersatu Iskandar Puteri mewakili Armada Bersatu Iskandar Puteri mendesak Cheng Hau menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada semua Kepimpinan PH," katanya. - UTUSAN ONLINE