Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad berkata, tindakan Abdullah Sani mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap para pemimpin Pakatan Harapan (PH) merupakan satu pengkhianatan kepada semangat reformasi dan aspirasi Malaysia Baharu.

“Serangan peribadi yang dikeluarkan terhadap Zuraidah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali oleh beliau dan isterinya Datin Faezah Ariffin telah memalukan PH dan PKR yang masih baharu mentadbir negara ini.

“Lebih memalukan lagi apabila beliau (Abdullah Sani) menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Tun Daim Zainuddin sedang berkonspirasi untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Hizwan menambah, amat menghairankan apabila setelah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas, Abdullah Sani pula menyuruh mereka yang menjadi mangsa fitnah beliau untuk membuktikan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar.

Baru-baru ini Abdullah secara lantang mendakwa ada campur tangan pihak tertentu yang menghalang pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dan mendakwa gerakan itu didalangi Daim. – UTUSAN ONLINE