Parti Cinta Malaysia (PCM) antara pihak yang agresif mengekang dakyah dan tohmahan daripada DAP terhadap kerajaan.

Bagi Naib Presidennya, Datuk Huan Ch eng Guan , partinya tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi atau motif tertentu berbuat demikian.

Kepada wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL, beliau yang dihubungi semalam memberi alasan mengapa PCM berpendirian begitu.

Huan Cheng Guan
Huan Cheng Guan

Utusan Malaysia: Dalam banyak keadaan, PCM kelihatan mengambil alih peranan parti-parti komponen Cina Barisan Nasional (BN) sebagai 'ayam sabung' menentang DAP, benarkah?

CHENG GUAN: Bukan begitu. PCM berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Kalau DAP memperjuangan slogan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus), PCM juga mahu mempraktikkan perkara yang sama. Te­tapi mengapa indah khabar dari rupa?

Apa yang indah khabar dari rupa itu?

Tak perlu pergi jauh. Kita rakyat negara ini, apatah lagi penduduk Pulau Pinang cukup maklum bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng akan menghadapi perbicaraan kes rasuah berhubung pembelian banglo miliknya hujung bulan ini (bermula 27 Mac 2017).
 Jika dia khususnya DAP memegang slogan CAT, mengapa Guan Eng masih enggan melepaskan kuasanya walaupun dirinya akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa. Dia terus berdegil untuk mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang dan seperti tidak mempunyai perasaan malu bertindak pula menuding jari kepada pihak lain yang menyebabkan dirinya dihadapkan ke mahkamah.

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Maknanya ini terpalit sama kepada DAP?

Ya, DAP khusus­nya adalah sebuah organisasi yang langsung tidak mempunyai integriti dan maruah. Ini kerana, DAP sendiri mahu melihat Guan Eng mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang tanpa memperdulikan apa jua kes yang disabitkan keatas dirinya.

Kalau dilihat tindak-tan­duk DAP, parti ini akan cepat melatah dan melenting apabila ahli atau pemimpin parti lawannya disabitkan dengan kes mahkamah?

Andai semua kesalahan ini berlaku di dalam BN, DAP dan Guan Eng sendiri akan sering mempersoalkan itu dan ini serta apa bentuk tindakan BN terhadap perlaku kesalahan berkenaan seperti mana nasib yang menimpa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo sebelum ini.

Ini bermaksud DAP sukar dipercayai?

Dengan segala tindak tanduk Guan Eng yang menafikan hak timbalannya sendiri untuk mengambil alih kuasa pentadbirannya, Guan Eng mahupun DAP tidak layak langsung untuk membicarakan soal integriti dan demokrasi. BN sudah berkali-kali membuktikan, jawatan bukan hak milik eksklusif individu. Sebaliknya, ia adalah hak milik rakyat dan parti.