Presiden PMSP, Ramesh Rao mendakwa, keengganan Kit Siang menjawab persoalan tempat kelahirannya secara terbuka dan jujur di samping membuat kenyataan secara bertulis menge­nai perkara tersebut juga menimbulkan tanda tanya.

Dakwanya, pelbagai maklumat diperoleh mereka terma­suk Kit Siang dikatakan lahir di Zhangzhou, daerah Fujian, China pada 1941 sebelum mema­suki Malaysia pada 1957, namun hasil carian terkini di internet menyatakan, Ahli Parlimen Ge­lang Patah itu lahir di Batu Pahat pada 20 Februari 1941.

“PMSP turut mengesyaki se­suatu apabila mendapati maklumat asal di laman sesawang Wikipedia mengenai asal usul Kit Siang yang dilahirkan di China tiba-tiba disunting tiga hari selepas kami membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

“Apatah lagi saya dimaklumkan oleh veteran-veteran DAP bahawa ibu bapa Kit Siang tidak pernah menjejakkan ka­ki di bumi Malaysia. Jadi, bagaimana beliau dikatakan lahir di negara ini,” katanya kepada pembe­rita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ramesh meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyegerakan siasatan berkaitan isu tempat kelahiran Kit Siang termasuk memastikan sama ada beliau benar-benar dilahirkan di Batu Pahat.

Beliau mendakwa, Kit Siang dalam kempen-kempen politik di beberapa negeri sebelum ini juga pernah membuat pendedahan yang bercanggah berhubung tempat kelahirannya ke­pada orang ramai.

“Ketika berkempen di Pulau Pinang, Kit Siang kata beliau anak Pulau Pinang, semasa berada di Melaka, beliau kata orang Melaka dan begitu juga di Johor, jadi yang mana satu betul?

“Sekiranya benar beliau lahir di China, PMSP akan minta agensi berkaitan lucutkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kerana perkara itu bukan sahaja mencemarkan kedaulatan, malah menjejaskan keselamatan negara kerana beliau mempunyai akses kepada rahsia kerajaan,” katanya.

Ramesh menambah, sekiranya Kit Siang masih enggan memberitahu tempat kelahirannya, PMSP berhasrat untuk mempersembahkan surat tentang perkara itu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.