Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pada masa sama menyifatkan tindakan berkenaan menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat.

Beliau turut menyamakan tindakan tersebut seper­ti kebodohan seseorang memilih perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak bersetuju dengan jalan raya tidak diturap sempurna.

“Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau mero­sak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepemimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara,” katanya menerusi kenyata­an yang disiarkan di portal Harakah Daily, hari ini.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai merujuk kepada kempen undi rosak yang menjadi tular di laman sosial de­ngan mesej #UndiRosak atau #SpoiltVote dan #ProtesPRU.

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam satu program di Kangar, Perlis menyifatkan kempen undi rosak sebagai bertenta­ngan dengan ajaran Islam dan meminta semua pihak khususnya umat Islam agar tidak terpengaruh.

Abdul Hadi menyifatkan tindakan memulau pilihan raya atau merosakkan undi sebagai jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik sekiranya memerintah.

Katanya, tindakan tersebut turut mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara serta rakyat sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing.

“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menye­rah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.

“Perkara inilah yang sa­ngat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam atau luar negara,” jelas beliau.

Berikutan itu, Abdul Hadi menyindir pihak yang menggerakkan kempen tersebut sama ada bodoh serta jahil atau sedia menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan negara.