Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRU-14 bakal menjadi kemuncak ‘perang siber’ dengan pelbagai maklumat benar atau palsu disebarkan menerusi media sosial seperti aplikasi WhatsApp, laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

“Media sosial menjadi faktor penting dalam berkempen dan menentukan masa depan parti atau pemimpin politik yang mempunyai pengaruh di laman sosial.

“Oleh itu, media sosial digunakan untuk memacu agenda politik terutama menjelang PRU-14 dan generasi muda perlu membantu menyalurkan maklumat serta menepis segala tohmahan atau fitnah terhadap pemimpin yang dibuat pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Briged Gempur 2314 Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda BN yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mohamad berkata, berkempen dengan cara menggantung bendera dan poster di tepi jalan seperti yang dilakukan dalam pilihan raya sebelum ini dilihat kurang sesuai pada masa kini dan bukan lagi penentu kemenangan.

“Berapa banyak bendera yang kita nampak di tepi jalan bukanlah penentu kepada kemenangan sebaliknya yang penting adalah keyakinan pengundi. Jangan kita biarkan pembangkang bermaharajalela di media sosial tetapi kita cuma perang bendera.

“Pembangkang menggunakan media sosial untuk menyebar fitnah, jadi Briged Gempur perlu tepis semula. Selain itu, mereka perlu meyakinkan pengundi, mengambil tahu permasalahan atau isu dan memastikan isu terbabit dibawa kepada pemimpin untuk diselesaikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE