Menteri Besar, Dr. Samsuri Mokhtar berkata, dengan kesedaran itu, soal mengisi kemenangan ternyata lebih berat daripada usaha mencapai kemenangan itu termasuklah  dalam menunaikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat ke arah meningkatkan kesejahateraan hidup mereka.

Dalam masa yang sama, katanya, ia menyentuh usaha membangun dan merapatkan hubungan rakyat daripada pelbagai latar belakang ekonomi dan fahaman politik dengan rasa kasih sayang sehingga akhirnya dapat dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain kelak.

"Kita (pemimpin) bertanggungjawab bersama tuan-tuan (mencorak) cara amalan kehidupan beragama, tanggungjawab kepada negeri dan juga kepada rakyat yang menyumbang kepada pembangunan negeri,"ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam program Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak,dekat sini malam ini yang turut dihadiri oleh  Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Hussin Awang.

Dalam menerajui negeri, beliau mengingatkan barisan kepemimpinan di semua peringkat supaya tidak bertemu rakyat sekadar semasa pilihan raya tetapi sentiasa bersama dengan turun padang untuk menghayati, memahami dan merasai denyut nadi permasalahan mereka.

 Beliau memberikan komitmen untuk menunaikan segala janji yang dinantikan oleh rakyat   namun tentunya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan perjalanan prosedur.

"InsyaAllah, saya akan maklumkan esok, selepas mesyuarat mingguan Exco kali pertama untuk membuat pertimbangan awal dengan mengambil kira ketibaan Ramadan di samping akan mengkaji pelaksanaan projek-projek di bawah kerajaan negeri terdahulu.

"Ini juga (pelaksanaan projek) dengan mengambil kira kepentingan dan keuntungan sebenar kepada rakyat, sama ada jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang.

 "Apa yang penting ialah kita tidak sesekali akan bebankan kewangan negeri, dan rakyat boleh mendapat manfaat (meluas ) daripada projek-projek yang  dilaksanakan kelak," tegas beliau.-UTUSAN ONLINE