Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, menerusi gabungan UMNO-Pas, pihaknya sedar bahawa kemenangan PH jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi tipis.

"Kita dapati di Cameron Highlands, walau kita kalah tetapi undi bagi kita meningkat manakala undian bagi BN pula berkurangan. Sebab mereka menang adalah kita percaya kerana ada gabungan antara parti Islam Pas dan 'parti kafir' UMNO. Itu kata Pas dahulu.

"Sudah kerjasama sekarang, mereka dapat kemenangan bagi calon mereka. Ini kita kena ingat... Pada masa depan, parti Islam dan kafir kerjasama untuk kemenangan di dunia di akhirat kita belum tahu, di dunia kemungkinan menang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.

BN pada 26 Januari lalu telah mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam PRU-14 pada Mei lalu.

Berhubung PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Dr. Mahathir berkata, PH boleh memenangi pilihan raya berkenaan melainkan ada sesuatu luar biasa dilakukan oleh gabungan UMNO-Pas.

Tambahnya BN kini sudah tidak wujud sebaliknya yang ada hari ini cuma Umno sahaja dan parti itu juga hanya tinggal separuh.

"Namun demikian kita tahu kerjasama mereka dan kalau kita ambil kira campuran antara Umno dgn pas, kemenangan PH pada PRU-14 bukanlah 8,000 tapi 1,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pakatan berkenaan turut mempersetujui Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH. - UTUSAN ONLINE