Shamsul Anuar Nasarah
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah malah turut beranggapan kejayaan kali ketiga berturut-turut BN dalam PRK juga menggambarkan rakyat telah menolak kepemimpinan PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH secara umumnya.

Jelas beliau, pengundi Rantau jelas menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di kawasan berkenaan.

“Kemenangan ini juga menunjukkan rakyat masih menghargai jasa BN dan UMNO serta parti komponen lain. Apa yang lebih penting adalah pengundi Rantau berjaya meletakkan Ketua Pembangkang yang boleh dipercayai dan kuat di DUN Negeri Sembilan.

“Paling utama, kejayaan ini membuktikan kesepakatan antara UMNO dengan rakan-rakan komponen BN iaitu MCA, MIC, Pas, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan kerjasama terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan rasmi PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

 

Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi. - UTUSAN ONLINE