Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Lee Chean Chung berkata, adalah menjadi harapan ahli-ahli untuk melihat Anwar kembali menerajui pimpinan PKR selepas hampir dua dekad tidak bersama.

“Kemenangan itu membukti­kan­ sokongan kuat dan ke­per­ca­yaan tidak berbelah-bahagi ahli terhadap beliau untuk terus membawa perubahan, bukan sa­haja kepada parti tetapi negara keseluruhannya.

“Kami berharap dengan kemba­linya beliau dalam barisan kepe­mimpinan, PKR akan lebih kuat. Keputusan tersebut menandakan kesepakatan dalam kalangan pe­mimpin tertinggi PKR menerima Anwar sebagai Presiden,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan tarikh dan lokasi serta perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Indera Mahkota di pejabatnya di Jalan Ahmad di sini hari ini.

MATC Indera Mahkota akan diadakan pada 25 Ogos ini di pekarangan pejabatnya termasuk se­si dialog pada hari tersebut bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Anwar diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR pada 5 Ogos lalu, sekali gus mengambil alih jawatan itu selepas penyandang yang juga isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Sementara itu, menurut Chean Chung, Anwar juga berhak untuk bertanding kerusi Parlimen melalui pilihan raya kecil.

“Tiada sebab hak itu dinafikan kerana beliau sudah lama menunggu, jadi tidak timbul isu jika mana-mana kerusi dikosongkan bagi memberikan laluan untuk­nya bertanding.

“Beliau menunggu dalam kea­daan orang lain tidak sanggup me­laluinya (dipenjarakan), namun­ semangat dan perjuangan pemimpin ini tidak pernah luntur untuk mengubah kerajaan dan hari ini, kita sudah menerajui Putrajaya,” katanya.

Malah, katanya, ahli akar umbi turut mengalu-alukan Anwar kembali bersama-sama me­nerajui Kabinet bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.