Sebelum ini kita sudah mendengar bagaimana Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau rela menjadi ‘kuli’ dalam membantu pakatan yang diketuai oleh DAP itu me­numbangkan BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan kedua-dua pemim­pin tersebut jelas membuktikan dendam politik mereka ter­hadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN sudah tidak mampu dibendung lagi.

Walaupun mengetahui tindakan tersebut mampu meruntuhkan kuasa politik Melayu, namun bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sudah tidak peduli lagi.

Ia memandangkan dalam ke­g­hairahan untuk menumpaskan BN, mereka sengaja melupakan bahawa yang akan meraihkan keuntungan besar ialah DAP – satu parti yang menjadi musuh ketat ketika kedua-duanya berada da­lam kerajaan.

Melalui pengakuan dan kesediaan menjadi ‘umpan’ dan ‘kuli’ sudah pastilah mereka akan menggunakan apa juga cara bagi mempengaruhi orang Melayu untuk menjatuhkan kuasa politik Melayu yang kini dipertahankan oleh UMNO.

Tidak payahlah mahu menipu rakyat kononnya PPBM akan berupaya menjadi parti dominan dalam Pakatan Harapan, DAP sudah pasti tidak akan mengizinkannya, apatah lagi dalam kea­daan PPBM bagaikan ‘bahtera’ yang semakin terumbang-ambing berikutan kemelut dalamannya.

Tetapi Dr. Mahathir dan Mu­h­yid­din seolah-olah tidak peduli walaupun bantahan demi bantahan oleh ahli-ahli PPBM yang membangkitkan pelbagai isu menuntut mereka menyelesaikannya. Kedua-dua pemimpin itu lebih mengutamakan perjuangan politik mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri berban­ding memantapkan PPBM supaya ia boleh menjadi parti terkuat dalam Pakatan Harapan.

Keadaan itu sudah tentulah menggembirakan DAP kerana jika PPBM kuat ia boleh memberikan masalah kepada penguasaan mereka, oleh itu DAP hanya membiarkan sahaja Dr. Mahathir dan Muhyiddin dengan keghairahan untuk menumbangkan BN melalui usaha menarik sokongan orang Melayu sebanyak mungkin.

Walaupun mungkin DAP tahu salah satu sebab kenapa Jabatan Pendaftar Pertubuhan sehingga ke hari ini tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan berpunca kegagalan PPBM me­ngadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian, namun DAP tidak akan berkata apa-apa.

Ini memandangkan dengan persetujuan semua parti dalam pakatan itu untuk menggunakan satu logo sahaja jika pendaftaran Pakatan Harapan gagal, sudah pastilah logo DAP paling sesuai dipakai. Tidak mungkin DAP akan membenarkan penggunaan logo PPBM walaupun Muhyiddin menyatakan parti itu terbuka jika ada mana-mana calon mahu memakai logo partinya.

Apatah lagi berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, PPBM merupakan ‘Parti Pa­ling Banyak Masalah’ (PPBM).

Oleh itu dalam pertaru­ngan PRU-14, agenda sebenar Dr.Mahathir dan Muhyiddin bukanlah mahu melihat PPBM menjadi parti dominan dalam Pakatan Harapan yang sekali gus boleh mempertahankan kuasa politik Melayu, sebaliknya hanya mahu melunaskan dendam peribadi masing-masing terhadap Perdana Menteri.

Lagipun kalaulah kedua-dua mereka berhasrat memperjuangkan agenda Melayu, ia tidak akan ke mana kerana ‘taiko besar’ pasti tidak membenarkannya, apa yang berlaku kepada Pas sebelum ini sudah menjadi bukti.

Justeru orang Melayu jangan ‘termakan umpan’ Dr.Mahathir sehingga akhirnya menyebabkan mereka akan dilayan ‘seperti kuli’, biarlah peranan ‘umpan’ dan ‘kuli’ itu berhenti setakat kedua-dua pemimpin tersebut sahaja.