Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan telah muncul di khalayak ramai dalam Majlis Taklimat Persidangan UMNO dan Perasmian Berkelompok Cawangan dan Sayap-sayap UMNO Bahagian ini di Dewan Residensi di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Ketika ditemui dan diminta mengulas mengenai isu pelantikan Menteri Besar itu, beliau hanya menyatakan secara ringkas menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. 

“Saya hadir ke majlis ini (persidangan UMNO) atas kapasiti dan memenuhi jemputan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian (Kangar) dan wakil rakyat (Kayang),” katanya.

Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas punca ketidakhadirannya dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah itu, kerana enggan memanjangkan isu berkenaan.

Kemunculan Hamizan di negeri ini itu juga turut menjawab persoalan mengapa hanya lapan ADUN BN negeri tersebut yang bertindak membuat laporan polis terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di ibu negara, semalam.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini Khamis lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN termasuk Hamizan.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. - UTUSAN ONLINE