Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Bersatu perlu lebih tegas menyelesaikannya kerana sebagai parti tonggak Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut, perkembangan terkini yang berlaku tentunya diperhatikan juga parti komponen PH lain.

“Bersatu diminta lebih tegas dalam menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku dalam Bersatu Perlis. Selaku tonggak PH Perlis, perkembangan yang berlaku dalam Bersatu Perlis sedang diperhatikan oleh parti komponen PH.

“Jika tidak ditangani dengan cepat dan dalam cara meyakinkan, tidak mustahil kemelut dalam Bersatu Perlis boleh menghakis keyakinan rakyat Perlis kepada parti itu selain akan turut mempengaruhi persepsi rakyat Malaysia terhadap Bersatu umumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, kenyataan demi kenyataan negatif oleh Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan terhadap pemimpin parti tersebut di negeri itu tidak mencerminkan beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa.

“Setiap orang hendaklah diberi peluang membela diri bila berhadapan dengan tuduhan, jelas perkara ini tidak berlaku dalam kes Wan Saiful Wan Jan yang terus dipecat tanpa diberi peluang untuk membela diri.

“Bila ramai pemimpin Bersatu Perlis lain membuat kenyataan menyokong Wan Saiful dan mendesak supaya Ameir ditukar dari jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Perlis, mereka dituduh sebagai askar upahan yang mempunyai masalah disiplin oleh Ameir,” katanya.

Tambahnya, Ameir langsung tidak menjawab isu sebenar yang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu Perlis sebaliknya lantang mahu mengambil tindakan disiplin ke atas mereka.

“Ugutan untuk mengambil tindakan disiplin ini bukanlah satu cara yang baik untuk menangani masalah, sebaliknya ia seolah-olah mengesahkan keluhan pemimpin-pemimpin Bersatu Perlis mengenai corak pengurusan Ameir.

“Bayangkan sahaja apa nasib bakal menimpa Bersatu Perlis jika kesemua mereka dan penyokong mereka diambil tindakan disiplin seperti yang dikehendaki oleh Ameir, sudah tentulah bilangan keahlian dalam parti itu akan jauh berkurang,” katanya. - UTUSAN ONLINE