Ramai yang faham, dengan pendirian itu, wakil-wakil rakyat terbabit yang sebelum ini ‘memulaukan’ pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar akan kembali bersama dan menyokong beliau bagi menerajui kerajaan negeri ini sekali lagi.

Bagaimanapun andaian tersebut meleset sama sekali. ‘Drama’ yang disajikan itu rupanya bakal memasuki episod baharu dan dijangka lebih panas selepas ini.

Mana tidaknya, BN negeri ini bukan sahaja berkeras menolak Azlan sebagai Menteri Besar sebaliknya mereka bercadang menghantar semula nama lain bagi mengisi kerusi nombor satu itu kepada Tuanku Syed Sirajuddin.

Lebih menarik, BN negeri ini akan menghantar 11 nama wakil rakyatnya yang menang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (kecuali Azlan) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengapa Shahidan turut dinamakan, sedangkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukannya dalam kalangan ADUN yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar?

Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika memberitahu Utusan Malaysia semalam ada hujahnya iaitu dalam perkara 39 (4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

Nampak gayanya, perjuangan Pengerusi BN Perlis itu bersama rakan-rakan lain untuk melihat Azlan disingkirkan daripada kerusi nombor satu negeri itu belum berakhir melalui langkah baharu yang diatur tersebut.

Persoalannya, adakah Raja Perlis sedia menerima cadangan nama itu sedangkan baginda sudah membuat keputusan melantik Azlan?

Dalam masa sama, adakah Az­lan yang tidak mendapat soko­ngan wakil rakyat BN itu akan me­ngalah dengan mudah melepaskan jawatan tersebut. Sama-sama kita nantikan kesudahannya.

Apa yang pasti, banyak masa sudah terbuang ketika negeri-negeri lain berusaha membentuk kerajaan dengan lancarnya.