Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau bimbang dengan trend penurunan sokongan yang dicatatkan sejak PRU-11 dan mahu usaha dijalankan bagi memberi penerangan kepada rakyat.

UMNO dan BN, tambahnya, masih mempunyai masa untuk mempergiatkan usaha tersebut
dan mempertingkatkan usaha menambah bilangan pengundi.

"Akar umbi UMNO perlu ligat perhati kenapa perkara seumpama itu berlaku. Adakah disebabkan pemimpin atas atau wakil rakyat tidak turun ke bawah tidak merasai nadi rakyat.

"Saya pasti setiap yang berlaku mesti ada sebab. Jadi, carilah puncanya dan betulkan punca itu. Barangkali, disebabkan perangai kita, lagak kita," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Tanjung Piai di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof.

Sehubungan itu, jentera kepimpinan UMNO dan BN perlu terus mengamalkan resmi padi yang semakin menunduk apabila berisi sekali gus percaya sokongan rakyat  kepada mereka akan bertambah sekiranya jentera kepimpinan sentiasa turun padang berjumpa rakyat. - UTUSAN ONLINE