ZAMBRI MOHD. ISA

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, ketika ini terdapat pemimpin Melayu terutama parti pembangkang sanggup menggadai prinsip tersebut demi untuk meraih sokongan kaum bukan Melayu.

“Pemimpin Melayu ini tidak bijak berpolitik dan sanggup me­lakukan apa sahaja demi untuk berkuasa.

“Apabila semua pemimpin kembali ke perjuangan asas iaitu menjaga kepentingan orang Me­layu berbanding diri sendiri, ke­sepakatan dan perpaduan tentunya akan terjalin erat,” katanya ketika dihubungi di sini ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas wawancara Mingguan Malaysia bersama Sultan Sharafuddin yang melahirkan kebimbangan tentang generasi akan datang ekoran cara berpolitik ke­terlaluan orang Melayu ketika ini.

Ruhanie Ahmad
RUHANIE AHMAD

Zambri berkata, apabila semua pemimpin kembali dan bernaung di bawah UMNO, kekuatan dan masa depan pasti terjamin.

Dalam pada itu, Naib Pre­siden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad berkata, situasi yang berlaku sekarang adalah berdasarkan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.

“Saya hormati pendapat baginda. Bagaimanapun, sistem politik negara adalah berteraskan sistem demokrasi dan wujudnya perbezaan, namun keadaan ini tidak semestinya membawa keburukan kerana kita gunakan demokrasi ke arah positif dan membina.

“Jangan gunakan demokrasi sehingga memecahbelahkan rakyat. Amalkan demokrasi secara berhemah dan penuh disiplin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin mengelak daripada menggunakan isu sensitif termasuk agama dan kaum untuk meraih sokongan rakyat.