CHE ABDULLAH MAT NAWI
CHE ABDULLAH MAT NAWI

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tarikh akhir sebenar notis pengosongan premis itu yang dikeluarkan oleh pemilik sah, Mohamad Yasin Yusof adalah pada 12 November 2017.

Katanya, selepas tempoh itu berakhir, tidak ada mana-mana pihak mewakili PAN Kelantan datang bertemu dan berunding dengan Mohamad Yasin meminta sebarang penangguhan.

"Tempoh notis pengosongan dikeluarkan Mohamad Yasin sebagai pemilik sudah tamat semalam. Apabila tidak ada pihak datang berunding minta lanjutkan tempoh lagi, jadi kita kira mereka tidak berminat untuk terus menduduki bangunan itu.

"Apabila tiada perbincangan baharu, maka keluarlah dengan bermaruah. Kena ada rasa malu pada masyarakat kalau duduk dalam bangunan milik orang lain tanpa ada perbincangan apa-apa," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Isu Wisma Tok Guru timbul selepas Pas Kelantan membeli tanah premis berkenaan dan memberi peringatan kepada PAN supaya mengosongkan bangunan yang dijadikan sebagai markas parti serpihan itu selewat-lewatnya pada 16 November depan.

Bagaimanapun PAN dilaporkan tetap berkeras tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru selagi tidak ada keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE